Tuesday, March 17, 2009

Selamat Pengantin Baru

salam dan sejahtera

lama tidak menaip rasa janggal tatkala menaip di laman ini.

buat utusan warkah utama aku ucapkan tahniah kepada Sakinah bt Mohamed Hatta yang selamat melangsungkan persepsi walimahnya bersama pasangan tercinta. maaf kerana tidak dapat hadir kerana urusan sulit. acapakali melihat, kini sudah masuk rakan ketiga yang menyarung cincin di jari manis bersama pasangan yang dicintai. entah bila giliran yang lain...

namun ini bukanlah perhentian bagi jalan mencari cinta Ilahi. berduyun dugaan bakal direntangi dalam mencari jannah yang dijanji. semoga permulaan ini menjadi titik tolak bagi mereka solleh mencari redha-Nya.

Monday, January 5, 2009

kini

salam dan sejahtera.

dalam keadaan genting dan isu ummah diperjudikan, tiada yang ambil peduli. cukup sudah 60 tahun tanah kelahiran para anbiya' di bedal, dijajah, diinjak-injak. sehingga kini tiada penyelesaian.darah dan nyawa bukan lagi kepentingan. bagi sang pemerintah, hanya kutukan yang prejudis diberikan. bukan mahu menyangkal, namun jika diikut logika akal, itulah yang berlaku. jika kezaliman yang berlaku pada saudara seangkatan ini masih dijarah, adakah aku, kau dan umum masih mahu berdiam?

dalam keadaan ini masih ada yang berpikiran kolot. anggapan bukan tanah air sendiri yang dijajah. jika itu, kemelut ini pasti tidak selesai sudah. jangan difikir tentang tanah air yang diperjuangkan, namun akidah yang perlu dibela dari disiat-siat kaum laknatullah.

jika jiran sebelah mampu bersiap untuk menghantar 1001 mujahid, apakah pula tindakan yang kita ambil? malu untuk mengatakan, namun inilah kebenarannya. jangan dilihat pada kaca tv yang terus memperlekeh perjuangan dari tanah arab. benar mereka berdiam diri. namun itu pada kedudukan pemerintah. dari rakyat keramaian merekalah yang berjuang habis-habisan. kalau dilihat, semua pemimpin hanya mampu bermimpi. cara penakut ini hanya pada pemimpin yang mengimpikan syurga dunia. mahu bumi al-quds itu bebas, tapi tiada usaha dilakukan dari pihaknya. bukan sahaja dari tanah arab. lihat saja tanah asia khususnya bumi semenanjung. biar sahaja sang pemerintah dengan angan-angannya. tapi kita bangkit menentang kezaliman!

jika kemungkaran itu boleh ditentang dengan tangan / perbuatan. maka kezaliman itu lebih darinya. cukup para anbiya' dibunuh ratusan tahun dahulu oleh yahud, hatta Muhammad itu cuba dibunuh mereka. memang aku, kau dan umum tidak punya apa untuk dilakukan dan diberikan, namun ada usaha yang boleh kita lakukan:

1. kenalkan tanah al-quds itu pada masyarakat umum.
2. boikot barangan yang membawa keuntungan pada mereka.
3. bagi mereka yang punya blog, inilah masanya. tunjukkan gambar, video dan sebagainya.
4. doa berterusan dari aku, kau dan umum.

4 perkara umum. aku, kau dan umum mampu melakukannya!

Thursday, January 1, 2009

ammi

salam dan sejahtera.

masukan kali ini aku hanya akan bicara secara spontan. melihat kepada intergriti umat yang kini kian parah. tatkala saban waktu rakyat al-quds dibedil. remaja malaysia hanya mampu bersuka ria tidak kira waktu. mabuk kepayang atas dunia. langsung tiada secebis hiba yang terpalit dalam dada. kini umur meningkat 20-an, yang terlintas dalam fikiran dan benak igauan hanyalah persoalan akidah. adakah mampu ianya terus dipatri agar terus melekat didada?

sepertimana yang dikata, "peganglah akidah itu seperti kamu menggigit akar pokok dengan gigi geraham". begitu utuh pegangan yang perlu dijaga. dan, "tidak masuk syurga seorang muslim selagi dia tidak menyayangi muslim yang lain seperti dia menyayangi dirinya sendiri".

kalau hendak dihitung, tiada apa yang telah aku lakukan. untuk bangsa, agama dan negara. hatta untuk diri sendiri yang serba kekurangan. kalau aku, kau dan umum masih seperti ini, injakan di genting ghazzah akan semakin parah. walau hanya sekuntum doa yang mampu diberikan, biarlah secara berterusan.

tidakkah aku, kau dan umum mahu melihat bumi anbiya' itu bebas?
idaman bagi seorang muslim itu solat di masjid aqsa yang diberkati disekelilingnya.
katakan salahuddin ke-2 itu akan datang, maka biarlah ia datang dari aku, kau dan umum. dari kalangan kita yang mahu menggegar. ngauman salahuddin bakal bergema semula di padang jerlus yang tidak punya apa!

azam dan tawakkal.

Wednesday, December 31, 2008

ringkas

salam dan sejahtera

" Sakit ini satu nikmat,
kerananya kita menyedari,
akan perihal rahmat dan hikmah,
yang tersembunyi,
di langit tinggi..
hanya pemilik,
langit dan bumi,
yang mengetahui..
kesembuhan itu,
aku tidak ingini,
keredhaan itulah,
yang aku dambai "

salam hijri dan masihi.

Monday, December 22, 2008

tamat

salam dan sejahtera

alhamdulillah selama seminggu aku ambil untuk meluangkan masa meredah bumi Tuhan di tanah semenanjung. dari utara ke selatan dan dari pantai timur ke pantai barat. telah dikatakan dalam kalam Tuhan bahawasanya bumi ini dibentangkan agar manusia dapat melihat dan berfikir. melihat ciptaanNya yang sesungguhnya sungguh mengagumkan.

aku mula menjelajah bermula dari tanah kaya bumi bertuah iaitu selangor. dari nanding hingga kuala selangor menyelusuri jalan lama yang menguji kesabaran. lalu meredah teluk intan ke ipoh untuk mencuba sotong kangkung yang menjadi kegemaran ramai. dari loghat KL maka bermulalah perkataan baku dengan melalui daerah permatang pauh yang pernah menjadi taruhan paksi dan proksi. kelibat poster wakil rakyat masih belum diturunkan.

tanpa membuang masa minyak ditaruhkan untuk menjejak bumi kodiang yang indah menghijau. meghelit mata memandang rantai emas yang dikalung sang wanita. dari kedah ke perlis tanah kecil sekangkang kera itu dilalui pada hari ke-3. diikutkan hati mahu sahaja ke sempadan negara gajah putih namun kadar kewangan hanya mampu ke pelusuk semenanjung sahaja. dalam keadaan memecut sehelai surat cinta diserahkan pada pemandu. bagi aku tidak punya kesalahan jika memandu 90km/j namun kata pengawas jalanraya kami sudah melebih 120km/j. mungkin ada mata-mata yang menilai.

melusuri negeri cik siti wan kembang pada hari keempat amat mengagumkan. loghat budak kelantan terngiang dan cuba dibahaskan. namun tidak kesampaian untuk keluar dari anak tekak yang tidak biasa dengan budu. dari itu bermulalah perjalanan ke Republic Of Besut. negeri kecil terengganu yang kecek kelantan. tiada unsur penggunaan "NG" dibelakang patah perkataan sehinggalah bertemu kerteh pada waktu malam dan bermalam di kuala terengganu. hari kelima dihabiskan di cherating dengan menyinggah sementara daerah kuantan lalu terus ke Danga Bay.

aku melihat deretan ombak laju dari bumi todak ke pesisir pantai negeri johor. barangan mahal membuatkan kami berderum laju ke masjid tanah. bumi disanjung hang tuah yang kini tidak bersultan. hari keenam dihabiskan di seremban. rumah rakan menjadi persinggahan untuk tumpang berteduh. namun lidah masih merasa masakan lemak cili api yang sungguh menyelerakan. tepat jam 6.30 petang pada hari ketujuh kampung baru kutemui lagi.

bagi aku, perjalanan yang dilalui harus dirasakan kau dan umum. dari marhalah ke marhalah. bukan tanah pusaka untuk disanjung. tetapi bumi Tuhan yang terbentang untuk ditafsirkan kuasa penciptaanNya.

maaf tiada gambar kerana usb port punya masalah.

Wednesday, December 10, 2008

hari tasyrik

allah akbar walillah hamd

salam dan selamat sejahtera.

hari ini merupakan hari terakhir lafaz talbiah di hari tasyrik di laungkan oleh berjuta umat Muhammad yang berhimpun. sedang itu, mereka sedang bersiap-siap untuk pulang selepas 40 hari tawaf wukuf dan sebagainya. rata-rata warga semenanjung menyambut eidul adha dengan suasana hening. gemawan muncul tatkala ibadah kurban dijalankan.

ada yang berduka tatkala dugaan itu datang bergolek di bukit antarabangsa. tidak kurang dengan mangsa banjir yang berlindung di merata tempat. dengan segala kejadian di hari tasyrik ini, semuanya punya hikmah. kesabaran dan keimanan diuji. benar kisah Ismail a.s dengan ayahnya diuji dengan episod penyembelihannya.

semoga pengujian itu mengislahkan diri.
Allah Akbar Walillah Hamd.

Amin Ahmad
13 Zulhijjah 1429H

Tuesday, December 2, 2008

berasap

salam dan sejahtera.

masih aku menaip mengagumi kebesaran yang Maha Esa.

dalam majoriti yang wujud kini, dan umumnya umat melayu yang khususnya muslim masih melafazkan kalimah syahadah sebagai kata pegangan dan pasport ke alam fana'. namun hakikatnya yang rata-rata disebutkan masih enggan menerima dari segi ketaqwaan kalimah tasyahud. alhamdulillah dalam diri masih wujud fitrah. namun bila diuji dari cabang kesusahan dan kesenangan, maka ramai terkontang-kanting. termasuklah aku.

ujian kebesaran yang diterima kaum adam yang ingin aku rungkai hanyalah ujian sebesar 9cm. jika diukur mungkin lebih panjang jari hantu. dari golongan bangsawan hinggalah rakyat termiskin. dari penjawat menteri hinggalah pengutip sampah nun di jalanan. dari tok imam hinggalah sejahil umat di pelusuk hulu dunia. semuanya memuja 'berhala' 9cm yang berasap. entah apa nikmatnya hingga begitu.

pada mula ayam jantan berkokok hinggalah siulan burung hantu masih ada yang memuja'nya'. dengan kata istilah lain ialah berhala jenama dunhill, marlboro, dan sebagainya. aduh, makin parah tatkala lelaki kerdil yang belum baligh juga akan memuja'nya'. bila ditanya, jawapan diberi kerana ia punya 'nikmat' tiap kali ia dinyalakan. seperti semangat yang hilang, dengannya akan pasti semangat itu datang. berduyun-duyun.

namun tatkala menghadap Ilahi, bukan main membaca dan berdoa mengharap redha dan ampunNya. selesai kaki melangkah keluar, berasap jua akhirnya. tidak kira di kota atau nun di pelusuk desa. rata-rata kaum adamnya pasti berasap. jika diikut akal logik dan pemikiran normal pastinya sudah diketahui akibat kesudahannya nanti. namun sungguh sukar untuk menjauhkan diri dari'nya' yang sudah menjarah bahtera nafsu yang membuak-buak. dari selesai minum kopi hinggalah tangan dibasuh selepas makan malam. yang pasti ia tidak boleh ditinggalkan. pelik dan hairan.

tidakkah dalam diri terfikir ianya salah satu unsur kesyirikan. memperhambakan dan mendahulukan si 9cm dari Rabb Al-amin. mana tidaknya. sebelum makan ianya 'disembah' dahulu. hatta sebelum solat ianya 'disembah' dahulu. sedang usul telah membahaskan dan penetapan hukum haram diletakkan. dalam diam diri telah berdosa. dari pembaziran hinggalah kepada kemudaratan. pedih dan sarat.

cukuplah dengan petikan. nah, saksikan pula surah an-nisa':41, yang mana syahadah disaksikan oleh Nabi sendiri. aku, kau dan umum ringan mengucapkan syahadah, namun perlakuannya?
baqarah:143 dan al-a'raf:172, bilamana Allah mengambil syahadah umat untuk kunci ke syurga.
muhammad:19, dengan segala AMALAN diakhirat kelak disandarkan pada diri dari (kuncinya) syahadah.

beringatlah setelah bejanji.